1. Definisi Ilmu Pengetahuan
Perkataan
ilmu dari sudut bahasanya adalah berasal daripada perkataan arab iaitu
calima, yang bererti mengetahui atau perbuatan yang bertujuan untuk
mengetahui tentang sesuatu dengan sebenarnya. Sementara ilmu dari segi
istilah memberi erti tentang segala pengetahuan atau kebenaran tentang
sesuatu yang datang dari Allah s.w.t yang diturunkan kepada
rasul-rasulnya dan alam ciptaannya termasuk manusia yang memiliki aspek
lahiriah dan batiniah.
Secara umumnya, ilmu didefinisikan sebagai
pengetahuan dan kepandaian tentang sesuatu bidang yang disusun secara
bersistem menurut kaedah dan metod tertentu yang dapat digunakan untuk
menerangkan sesuatu yang berkait dengan bidang ilmu tersebut. Ilmu
pengetahuan pada lazimnya terdapat dalam dua bentuk iaitu ilmu
pengetahuan nyata (explicit
knowledge) dan ilmu pengetahuan tidak
nyata (tacit knowledge). Ilmu pengetahuan nyata boleh didapati
kebanyakannya dalam bentuk dokumen bercetak manakala ilmu pengetahuan
tidak nyata pula terdapat dalam idea, minda, amalan harian, pengalaman,
memori dan seumpamanya yang kebiasaannya sukar dilihat dengan mata
kasar. (Noraziah Sharuddi, 2002)
Dalam zaman moden ini pengertian
ilmu telah disempitkan dan dimodenkan kepada pengetahuan maklumat dan
kemahiran sahaja. Dalam pengertian barat moden, ilmu hanyalah merujuk
kepada pengenalan atau persepsi yang jelas tentang fakta. Fakta pula
merujuk kepada perkara-perkara yang boleh ditanggapi oleh pancaindera
zahir dan bersifat empiris. Kewujudan perkara lain di luar keupayaan
pancaindera tersebut dianggap bukan fakta dan tidak termasuk dalam
bidang ilmu. Mengikut pandangan mereka secara automatik ajaran agama
terkeluar daripada takrif dan ruang lingkup ilmu dan dianggap sebagai
kepercayaan semata-mata.
Islam telah menghimpun antara agama dan
ilmu. Tidak ada sebarang penentangan antara agama dan ilmu kerana dalam
Islam, agama itu sendiri adalah ilmu dan ilmu adalah agama. Ilmu menurut
perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil. Manakala
istilah ilmu dalam Islam merangkumi pelbagai perkara iaitu al-Quran,
syariah, sunnah, iman, ilmu kerohanian, hikmah, makrifat, pemikiran,
sains dan pendidikan.
2. Kepentingan Ilmu Pengetahuan
Ilmu
merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia.
Perkembangan dan kemajuan sesuatu bangsa di dunia ini berkait rapat
dengan kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan yang terdapat pada
sesuatu bangsa itu sendiri. Justeru, Islam mengingatkan tentang hakikat
ini menerusi pelbagai ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.
Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan
bahawa Islam adalah satu agama yang memartabatkan ilmu pengetahuan dan
orang yang berilmu. Baginda Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya;
“Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan
perempuan.” Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa menuntut ilmu itu
adalah suatu perkara yang penting dan menjadi kewajipan bagi setiap
orang Islam. Antara kepentingan ilmu pengetahuan ialah;
2.1
Kedudukan serta martabat orang yang berilmu diangkat dan diletakkan
ditempat yang lebih tinggi. Dengan erti kata lain, ilmu dapat mengangkat
darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan
masyarakat. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 ;
يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت. والله بما تعملون خبير
Maksudnya; "Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan"
2.2 Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia. Firman Allah dalam surah al-Zumar, ayat 9 ;
قل هل يستوي الذين يعلمون والذين لا يعلمون. انما يتذكر أولولوا الألبب
Maksudnya;
“Katakanlah adakah sama orang-orang berilmu dengan orang yang tidak
berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk
hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana"
2.3
Ilmu dapat membentuk keperibadian yang baik dan menjadikan seseorang itu
bertaqwa dan cintakan Allah s.w.t dan RasulNya. Firman Allah dalam
surah al-Fathir, ayat 28 ;
انما يخشى الله من عباده العلمؤا
Maksudnya ; “Sesungguhnya yang takutkan Allah daripada hambanya ialah orang-orang yang berilmu”
2.4
Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagian hidup di dunia
dan di akhirat, memberikan kekuatan ketika dalam kesusahan dan ketika
berhadapan dengan musuh.
2.5 Dengan ilmu manusia dapat
menjalankan ibadah dengan sempurna, samada ibadah umum atau ibadah
khusus dan dapat melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah di muka
bumi dengan sebaiknya.
2.6 Ilmu agama atau ilmu yang terdapat
dalam al-Quran dan Al-sunnah akan menjadi benteng yang dapat mencegah
seseorang itu dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syariat,
dapat menolak kejahilan dan kebodohan sama ada dalam perkara agama atau
dalam mengejar kebendaan duniawi.
2.7 Pelbagai jenis ilmu
keduniaan seperti ilmu kejuruteraan, ilmu kedoktoran, ilmu pertanian dan
sebagainya dapat membantu kemaslahatan hidup manusia di dunia.
2.8
Ilmu adalah salah satu langkah bagi menjana pembangunan negara kerana
melalui ilmu sahajalah yang dapat membezakan antara yang hak dan yang
batil.
3. Sumber-sumber Ilmu Pengetahuan
Secara umumnya, sumber ilmu pengetahuan adalah diperolehi melalui wahyu, pancaindera, akal dan intuisi atau ilham.
1. Wahyu
Wahyu
adalah pemberitahuan daripada Allah s.w.t kepada seorang hambanya yang
dipilih di kalangan hambanya dengan secara sulit dan rahsia berlainan
dari apa yang dialami oleh manusia biasa. Tidak dapat dinafikan lagi
wahyu adalah merupakan sumber pengetahuan yang terpenting yang telah
disampaikan oleh Allah s.w.t kepada manusia sama ada ianya disampaikan
melalui Nabi Muhammad s.a.w atau melalui nabi-nabi yang terdahulu. Wahyu
merupakan teras kepada segala ilmu kerana di dalam al-Quran terkandung
pelbagai jenis ilmu pengetahuan yang amat diperlukan oleh manusia untuk
kemasalahatan hidup juga perkara-perkara ghaib yang tidak dapat
dijangkau oleh akal pemikiran manusia.
2. Pancaindera
Semua
pancaindera seperti sentuhan, ciuman, penglihatan, pendengaran dan
deria rasa merupakan seumber pengetahuan yang utama dan amat berguna
bagi manusia untuk berinteraksi dengan alam sekelilingnya dengan mudah
dan betul. Kelima-lima pancaindera ini merupakan satu cara untuk
mendapatkan ilmu pengetahuan melalui beberapa percubaan dan pengalaman
yang berulang-ulang. Bagaimanapun kebenaran yang diperolehi tidak
semestinya selalu betul dan tepat. Pancaindera kadangkala di dalam
keadaan tertentu gagal memberikan gambaran atau penglihatan umpamanya
matahari kelihatan kecil oleh mata sedangkan kenyataannya adalah
sebaliknya.
3. Akal
Akal
adalah merupakan sumber utama pengetahuan manusia, malah perbezaan
antara manusia dan haiwan adalah melalui hasil tamadun yang diusahakan
oleh manusia berpunca dari pemikiran akal manusia yang kreatif. Dengan
akal manusia dapat menimbang dan membezakan antara yang baik dan buruk,
walaupun mungkin ianya tidak bersifat kebenaran secara mutlak namun
ianya memadai untuk mengatasi masalah kehidupan seharian. Bagaimanapun
Allah s.w.t menyuruh manusia menggunakan semaksima mungkin kedua-dua
daya akal dan pancaindera yang dianugerahkan kepadanya agar dapat sampai
kepada pengetahuan sahih dan kebenaran yang tidak menyesatkan. Al-Quran
banyak menyebut seruan serta galakan daripada Allah s.w.t agar manusia
dapat memerhatikan alam sekeliling mereka dengan akal dan pancaindera
bagi mencari kebenaran yang hakiki.
4. Intuisi atau Ilham
Intuisi
atau ilham juga boleh menjadi sumber pengetahuan manusia yang amat
berguna. Ianya merupakan pengetahuan yang diperolehi tanpa melalui
proses pemikiran yang tertentu. Contohnya seseorang yang mempunyai
masalah yang sedang menumpukan pemikiran nya terhadap penyelesaian
masalah tersebut, tiba-tiba menjadi jalan penyelesaian tanpa perlu
berfikir panjang seolah-olah kebenaran yang dicari datang sendiri. Dalam
Islam ilham ini boleh dikenali dengan istilah "firasat" atau pun
pandangan bashirah (tembus) yang dikurniakan oleh Allah kepada para
Ulama.
Walaupun begitu, ada juga di kalangan sarjana yang
berpendapat bahawa sumber ilmu itu datangnya juga daripada sumber lisan
dan tulisan serta kajian sejarah. Ilmu yang diperolehi melalui sumber
lisan wujud dalam sistem pendidikan secara tidak formal seperti ilmu
pertukangan dan sebagainya yang diperolehi melalui warisan secara tidak
langsung daripada keluarga atau masyarakat. Pengajaran-pengajaran secara
lisan daripada tokoh-tokoh ilmu juga dianggap sebagai sumber lisan.
Ilmu yang sumbernya dari tulisan dapat dilihat melalui ilmu perubatan,
matematik, dan undang-undang. Sementara ilmu yang diperolehi daripada
kajian sejarah pula dapat dilihat melalui kajian-kajian dan
penulisan-penulisan yang khusus tentang peristiwa sejarah yang telah
berlaku.
Home »
Artikel Guru
» KEPENTINGAN ILMU PENGETAHUAN DAN SUMBERNYA MENURUT ISLAM
KEPENTINGAN ILMU PENGETAHUAN DAN SUMBERNYA MENURUT ISLAM
Written By Unknown on Jumat, 12 Juli 2013 | 09.41
Terima Kasih Telah Membaca Artikel KEPENTINGAN ILMU PENGETAHUAN DAN SUMBERNYA MENURUT ISLAM.
Silahkan Klik Tombol Like Atau Share Untuk Berbagi Artikel Ini Atau Silahkan Di Copy Link
https://mtsm-sungaibatang.blogspot.com/2013/07/kepentingan-ilmu-pengetahuan-dan.html
Terima Kasih.
Label:
Artikel Guru
0 komentar:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !